Tuesday, March 31, 2009

Keputusan

Ini sebenarnya entry post yang sudah outdated.

Tanggal 5 Mac yang lepas, keputusan SPM 2008 telah pun keluar. Semua pelajar mesti berdebar-debar untuk mengetahui keputusan yang akan mereka perolehi. Termasuk adindaku. Dia baru pulang dari menyertai PLKN di Pahang dan tidak sampai seminggu kepulangannya, keputusan SPM keluar. Ibundaku memang mahu dia menyertai PLKN siri yang pertama supaya masa menunggu keputusan tidak hanya melakukan aktiviti-aktiviti kemalasan sahaja dan terperuk di rumah. Tambahan pula, adindaku ini seorang yang terlalu mengharapkan orang lain, dan pada pendapat ibundaku dengan menghantarnya ke PLKN, dapatlah perangai itu sedikit sebanyak dikikis. Tetapi sepanjang pengamatan aku sejak kepulangannya,


ibundaku hanya berangan-angan kosong sahaja.



Keputusan yang adindaku dapat hanya pada tahap bolehla. Ibunda memberitahuku yang keputusan adindaku setimpal dengan usahanya yang tidak seberapa. Belajar sambil berbaring kemalasan di atas katil. Pada firasat ibundaku, keputusan ini sangat berbaloi dengan kesungguhan yang biasa-biasa sahaja. Jikalau mahu dikira jumlah B yang diperolehi, adindaku seakan-akan menyesal.
4 mata pelajaran yang sipi-sipi mahu ke A. Jikalau mata pelajaran B boleh jadi A, adindaku berjaya mendapat 6A dan seterusnya meletakkan dirinya di tangga pertama dalam klasifikasi pencapaian akademik di kalangan adik- beradikku yang lain.




Tapi, ya, itu hanya angan-angan kosong sahaja ditiup angin malam pada masa ini.



Cukuplah sekadar aku memberitahu yang adindaku berjaya mendapat 2A. Syukur, alhamdulillah. Di saat-saat ibundaku terlalu risau tentang keputusan adindaku itu, alhamdulillah. Tidaklah seteruk mana dan masih boleh dibanggakan. Adindaku bercita-cita mahu menjadi juruterbang (rasanya). Atau juruteknik kapal terbang. Sibuk ibundaku mencari IPTA atau IPTS yang menawarkan kursus aviation technology. Mungkin itu yang mahu adindaku lakukan pada masa hadapan. Atau mungkin dia terpengaruh dengan cerita di televisyen, Awan Dania yang mengisahkan tentang kehidupan untuk berjuang di awan biru. Adindaku senyap-senyap menonton cerita itu jikalau tiada siapa yang menonton bersama-samanya, walaupun siaran ulangan di saluran @15. Mungkin dia hanya mahu melihat Scha dengan seragam pramugarinya.


Cukuplah.



Sebenarnya aku mahu membawa kalian mengimbau zaman-zaman persekolahanku ketika mahu mengambil keputusan peperiksaan besar. Sekadar mahu berkongsi pengalaman hidup.



Semasa darjah 6, untuk UPSR, aku tidak berpeluang untuk mengambil keputusanku sendiri kerana pada masa itu aku berada di rumah arwah nenekku di Perling, Johor. Semasa itu cuti sekolah dan kami adik-beradik tinggal bersama nenek di sana kerana ibundaku pergi menunaikan ibadah haji. Semasa itu, adindaku yang bongsu hanya berusia beberapa bulan. Ayahandaku tidak ikut bersama dan hanya dia sahaja berada di Kuala Lumpur keseorangan kerana urusan kerja. Pada saat keputusan diumumkan aku berdebar-debar yang amat sangat. Mahu buat itu, resah. Buat ini, bimbang. Akhirnya, apabila hari menginjak petang, baru aku memberanikan diri menelefon rakan karibku di sekolah rendah dan menanyakan keputusanku padanya. Pada masa itu aku tidak pun terfikir perihal bil telefon yang akan naik. Aku pun tidak memberitahu nenek dan makcikku yang aku menggunakan telefon untuk menghubungi nombor Kuala Lumpur. Tetapi, alhamdulillah, syukur. Aku berjaya mendapat 5A. Waktu itu tahun 1997, mata pelajaran Sains dijadikan mata pelajaran kelima dalam peperiksaan UPSR untuk pertama kali. Semasa menjawab soalan peperiksaan, aku langsung tidak yakin dengan kertas Sains aku. Tapi, syukur. Aku berjaya.



Tetapi ada kenangan pahit seiring dengan kejayaanku ini.




Setelah kepulangan ibundaku dari Tanah Suci (ibundaku mengikut rombongan haji di Singapura bersama dengan nenekku yang lain dan sepupuku), dan setelah dijanjikan yang ayahandaku akan mengambil kami pulang, ayahandaku telah terlibat dalam satu kecelakaan. Sebelum hari untuk berangkat ke Johor, rumah kami dimasuki pencuri. Mujur ayahandaku tidak diapa-apakan. Dan syukur hanya sedikit wang yang diambil oleh pencuri. Keesokan hari, ayahandaku masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku tetapi harus perlu mengambil kami di Johor. Dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Kereta yang dinaikinya terbabas melanggar pembahagi jalan di tengah-tengah lebuhraya. Mujur terlanggar di tengah, jikalau di tepi dan tepi itu adalah gaung (walaupun lebuhraya utara-selatan menghala ke selatan tidak mempunyai gaung, pada firasat aku). Tetapi yalah, jikalau terlanggar bahagian bahu jalan di tepi aku yakin pasti lagi teruk. Tulang belakang ayahandaku mengalami kerosakan dan harus ditegakkan. Lama juga ayahandaku mengambil masa untuk sembuh. Dan aku tidak boleh ingat bagaimana kami pulang dari Johor. Mungkin menaiki bas, barangkali.




Dengan keputusan yang diperoleh, aku berjaya memasuki salah sebuah sekolah menengah harian yang terkenal di Kuala Lumpur. Tiba masanya untuk keputusan PMR keluar. Tetapi, sekali lagi aku tiada di Kuala Lumpur untuk mengambil keputusanku sendiri. Aku bersama adindaku berada di Singapura menghabiskan cuti sekolah kami. Kebetulan pada masa itu bulan Ramadhan tiba menjengah. Itulah pengalaman pertama untuk aku menghabiskan sebulan berpuasa di sana. Selalunya dua, tiga hari sebelum Hari Raya kami akan tiba di sana. Aku suka pengalamanku yang satu ini, di samping dapat menemani nendaku yang duduk keseorangan. Tetapi tidak pula aku mahu menemaninya ke solat tarawih.

"Penat la nyai", kataku. Nyai adalah nama panggilan kami kepada nenda. Yai untuk lelaki. Yot untuk moyang. Kedua-dua Yot dan Yai ku sudah tiada. Jadi, tinggalla Nyai seorang.


Tiba hari keputusan PMR keluar, sama seperti dulu. Tidak senang duduk. Tetapi, pagi-pagi lagi ibunda dan ayahandaku menelefon mengatakan keputusan yang aku dapat. Agak terkilan dengan keputusan tersebut, hanya satu B untuk erm, Pendidikan Islam. Menurut ibundaku, cikguku ada berkata padanya bahawa ramai pelajar yang mendapat B untuk mata pelajaran tersebut. Dengar kata kertas Pendidikan Islam sekolah-sekolah di Kuala Lumpur di tanda oleh guru-guru di Pantai Timur. Dikatakan juga mereka sangat tegas dan tidak telus dengan jawapan murid. Pasrah sahaja aku mendengarnya.



Dengan keputusan tersebut, aku tidak ke mana-mana. Masih di sekolah menengah harian terkenal itu. Hari itu tibalah masa keputusan peperiksaan SPM keluar. Dan hari itu jugalah aku ada untuk mengambil keputusanku sendiri. Setelah 3 kali mengambil peperiksaan besar, baru kali ini aku berpeluang mengambil keputusanku sendiri.


Aku yang akan menelefon ibunda dan ayahanda, bukan lagi mereka.



Aku yang akan menjadi orang yang pertama melihat keputusanku, bukan lagi mereka.



Dan aku juga yakin bahawa bukan berita gembira yang akan aku sampaikan kepada mereka.




Akhirnya keputusan di tangan. Ternyata hanya beberapa A yang aku berjaya dapat. Ibundaku menelefon menanyakan tentangnya dan seperti biasa dia akan mengucapkan kalimat ini,

"Okeylah tu"

Ya, aku mengaku malu untuk bertemu dengan guru-guruku. Tetapi semasa hendak melangkah keluar dewan sesudah mendapat slip keputusan, aku dan rakanku terserempak dengan guru Kimiaku. Seperti biasa, guruku tersenyum. Kami pun cepat-cepat melarikan diri takut-takut guruku akan menanyakan perihal keputusan Kimia kami. Ternyata memang aku tidak mahu dia tahu daripada mulutku sendiri.

Bebalnya aku.
Mestilah guruku itu sudah memeriksa sebelum slip keputusan diedarkan kepada kami.


Panjang lebarnya coretanku untuk yang kedua kali ini. Ini adalah kisahku. Rasa tenang dapat meluahkannya di sini. Ternyata sekarang aku sudah pun bekerja dan zaman persekolah tetap akan menjadi sebuah kenangan terindah hidupku.


Nota kaki: Penutup - Akhirnya dengan keputusan SPM tak seberapa, aku berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dan seterusnya Ijazah Sarjana Muda. Keputusan terakhirku sangat membanggakan. Ternyata, gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya.




Wednesday, March 11, 2009

Setelah Sekian Lama

Tidak pernah aku menduga keinginan untuk mempunyai sebuah 'ruang pojok' sendiri tercapai juga di kala aku mahu siap-siap ke tempat kerja.
Dulunya selalu berangan menjadi penulis ruang pojok terkenal di dada-dada akhbar.
Hah, mungkin suatu hari nanti, siapa tahu?
Laman blog ini pun boleh dikategorikan sebagai ruang pojok peribadi aku sendiri.
Tak tercapai akal mengenangkan bakal nasib ruangan ini yang akan aku tinggal-tinggalkan.
Yelah, mana mungkin ada masa untuk membelainya setiap hari.
Tapi, ya, aku akan cuba untuk mengekspresikan setiap perasaan aku yang hampir sama setiap hari di sini.
Setiap pengamatanku, setiap pergolakan perasaanku, setiap detik hidupku dan seterusnya untuk meniti apa yang telah dan bakal aku hadapi selama 24 tahun hidup di dunia ini.
Sekian lama tidak menulis di dalam Bahasa Malaysia, tapi, ya, aku akan cuba.
Tidak ada salah silapnya mencuba kembali setiap apa yang telah kita tinggalkan sekian lama.
Mungkin aku tidak pandai berbahasa cuma ingin meluahkan perasaan saja di sini.


Nota kaki: Ah, akhirnya aku berjaya menulis daripada atas hingga bawah ruangan post ini. Target aku hanya itu sahaja.